PUCHONG - Satu sindiket yang menjadikan sebuah kondominium sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian di sini diserbu dalam Ops Dadu kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun ditahan dan pelbagai barang telah dirampas termasuk enam komputer riba, 14 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM4,070.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menyewa kondominium di tingkat 23 dan beroperasi sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian.
"Polis turut mengenal pasti enam website yang digunakan sebagai aktiviti perjudian itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Katanya, polis percaya sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu dengan menggaji pekerja terbabit antara RM2,000 sehingga RM3,000.
"Sindiket juga dikatakan mampu mengutip pendapatan mencecah RM1,000 sehingga RM2,000 sehari.
"Kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953," katanya.
Operasi disertai pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.