SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan kelulusan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta kepada 7.66 juta pengguna elektrik dalam kategori domestik di semenanjung membuktikan kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan pandangan rakyat.
Presidennya, Adnan Mat berkata, keputusan memberikan pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik untuk tempoh tiga bulan (April, Mei dan Jun) itu dilihat mampu memberikan manfaat berbanding pemberian diskaun mengikut blok penggunaan elektrik sebelum ini.
Menurutnya, pemberian diskaun mengikut blok penggunaan seperti sebelum ini tidak begitu menyeluruh dan perlu dinilai semula bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat.
"Ini kerana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan keberadaan rakyat di rumah meningkat hampir 100 peratus berbanding hari biasa sekali gus menyebabkan penggunaan elektrik bertambah selain perlu bekerja dari rumah.
"Pemberian diskaun juga dilihat semakin berkurangan sekiranya penggunaannya lebih tinggi sekali gus menjadikannya tidak praktikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Kerajaan lulus Bantuan Prihatin Elektrik tambahan RM942 juta
Dalam pada itu, Adnan turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sentiasa terbuka untuk memberikan insentif lebih baik kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.
Katanya, tanggungjawab tersebut membuktikan bahawa TNB sentiasa bersama rakyat dalam membantu di saat semua pihak menghadapi kesukaran meskipun menerima pelbagai kritikan ekoran kekeliruan maklumat yang disalurkan.
"Justeru, Cuepacs berharap semua pihak yang menghadapi masalah kekeliruan bil elektrik mereka untuk tampil bertemu atau bersemuka dengan pihak TNB di Kedai Tenaga atau mana-mana cawangan TNB berhampiran bagi menyelesaikan kekeliruan.
"Usahlah menggunakan medium sosial media untuk melontarkan pandangan yang tidak berasas hingga mencetuskan kegusaran kepada rakyat selain sentiasa mengamalkan penjimatan bagi mengelakkan daripada terbeban dengan apa yang dicipta sendiri,” katanya.