JOHOR BAHRU - Tindakan pantas orang awam membuka pintu 'roller shutter' sebuah bengkel motosikal yang terbakar di Bandar Baru Permas berjaya menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam bengkel itu awal pagi tadi.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Timbalan Penguasa Bomba II, Tahrin Saat berkata, seramai 21 anggota bomba dari BBP Johor Jaya dibantu anggota dari BBP Tebrau dan Larkin ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.24 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian difahamkan isteri kepada pemilik bengkel dan anaknya berusia 1 tahun berada di bilik bahagian belakang bengkel.
"Isteri pemilik bengkel berusia 22 tahun itu menyedari kejadian berkenaan selepas ternampak asap dalam bengkel dan segera menghubungi suaminya untuk meminta pertolongan.
"Ketika kejadian dia juga menarik pintu 'roller shutter' untuk keluar dari bengkel namun tidak berjaya," katanya.
Katanya, pintu terbabit dapat dibuka dengan bantuan orang awam selepas suaminya memaklumkan kepada orang awam bahawa isteri dan anaknya berada dalam bengkel tersebut.
"Wanita terbabit bersama anaknya dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
"Operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 2.55 pagi dan sebanyak 17 buah motosikal yang berada di dalam bengkel tersebut musnah," katanya.