KUALA TERENGGANU - Semua sekolah menengah di Terengganu sudah bersedia untuk dibuka semula kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam bagi meneruskan sesi persekolahan mereka pada 24 Jun ini.
Exco Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, persediaan sudah dibuat guru di sekolah masing-masing selepas diberi taklimat Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.
Menurutnya, taklimat itu bagi membolehkan sekolah menengah yang akan dibuka nanti bersedia sepenuhnya dalam mematuhi garis panduan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Taklimat diberi JPNT (Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu) dan guru-guru sudah buat persiapan supaya prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dapat dipatuhi pelajar nanti.
"Di Terengganu saya tidak nampak ada masalah sebab sekolah kita majoritinya satu sesi saja iaitu waktu pagi namun saya harap ibu bapa dapat beri kerjasama dan bantu sekolah untuk lengkap keperluan yang diperlukan.
"Ini kerana akan berlaku penambahan kelas sebab jumlah murid dalam kelas tidak lebih 20 orang. Ibu bapa juga diharap dapat hantar dan jemput anak-anak selain sediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Satiful Bahri berkata, selain sekolah menengah, lebih 140 pusat tahfiz berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) juga dibenarkan dibuka pada 1 Julai nanti mengikut garis panduan dan SOP ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, keputusan sama ada mahu memulakan semula operasi atau tidak bergantung kepada pihak pengurusan pusat tahfiz berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara pada 24 Jun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah dibuka semula untuk kelas peperiksaan awam 24 Jun ini
Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia melibatkan seramai 500,444 pelajar dan 2,444 sekolah menengah kebangsaan serta beberapa ratus sekolah antarabangsa di seluruh negara.