SHAH ALAM - Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) tidak menjejaskan hala tuju Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PH.
Naib Presidennya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, keputusan PKR itu hanya perbezaan pendapat dan Amanah telah terlatih dan mempunyai pengalaman mengharungi perbezaan itu.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman Amanah juga berperanan sebagai pemudah cara dalam banyak situasi malah parti itu bersedia mengalah dalam banyak keadaan.
"Pembahagian kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) satu contoh jelas. Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengiktiraf perkara itu. Biasanya akan ada jalan penyelesaian pada setiap perbezaan.
Pilihan pertama PH pilih Anwar gagal dapat sokongan majoriti
"Saya yakin perbezaan ini akan merapatkan lagi hubungan Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama DAP dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Ini termasuk mereka yang rapat dengan Dr Mahathir dalam kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Bebas," katanya kepada Sinar Harian.
Ketika ditanya apakah penyelesaian alternatif boleh diambil dalam soal pemilihan calon Perdana Menteri dalam PH katanya, pintu rundingan sentiasa terbuka.
"Formula dan idea baharu boleh datang pada bila-bila masa di samping persiapan menghadapi PRU15," katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat.