LONDON - Narnia, salah satu insiden mengejutkan veterinar di United Kingdom apabila seekor kucing jantan memiliki sepasang mata berwarna biru dan mempunyai dua warna sebelah menyembelah pada mukanya, kini telah menjadi bapa kepada dua ekor anak.
Menurut portal berita Republic pada 20 Jun lalu, kucing bernama Narnia itu milik seorang wanita, Stephanie Jiminez dari Britain.
Berdasarkan gambar, muka kucing itu pada bahagian kanan berwarna hitam dan berwarna kelabu pada kirinya.
Narnia disyaki mempunyai dua jenis asid deoksiribonukleik (DNA) memungkinkan ia mempunyai dua warna pada mukanya.
"Seorang ahli genetik telah membuat ujian dan mendapati Narnia hanya memiliki satu DNA. Ia masih kekal misteri untuk sains," kata pemiliknya.
Portal berita tersebut melaporkan bahawa Narnia kini bapa kepada dua ekor anak kucing yang masing-masing berwarna hitam dan kelabu.
Anak kucing yang berwarna hitam itu bernama Prada dan masih belum diberikan kepada mana-mana keluarga untuk dipelihara.
Seekor lagi anak kucing yang berwarna kelabu itu pula diberi nama Phoenix dan sudah dipelihara oleh sebuah keluarga. Kedua- duanya dilahirkan pada tahun lalu.
Portal berita itu melaporkan kedua-dua anak kucing itu memiliki mata berwarna coklat walnut dan tidak berwarna biru seperti Narnia tetapi mungkin ia diwarisi daripada ibunya. - Agensi