SINGAPURA - Singapura bersedia untuk bekerja dengan Malaysia dalam menangani keperluan pelawat rentas sempadan ketika penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pelawat terbabit termasuk mereka yang berkunjung atas urusan perniagaan dan rasmi serta warga Singapura dan Malaysia yang sebelum ini berulang-alik di antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Singapura berkata demikian dalam kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media mengenai cadangan Malaysia untuk menarik balik sekatan sempadan di antara Singapura dan negara itu.
"Persetujuan dua hala sedemikian perlu merangkumi protokol kesihatan awam yang dipersetujui kedua-dua belah pihak bagi memelihara kesihatan awam dan keselamatan rakyat di kedua-dua negara.
"Kedua-dua negara akan memerlukan sedikit masa untuk mengusahakan perincian bagi menarik balik sekatan secara beransur-ansur untuk memastikan proses pemulihan yang stabil daripada wabak Covid-19,” kata jurucakap kementerian itu.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Warga Singapura, Brunei boleh masuk Malaysia
Pada Jumaat (19 Jun), Malaysia secara dasarnya bersetuju membenarkan rakyat Singapura dan Brunei memasuki sempadan negara tanpa perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada kelonggaran yang diberikan kepada rakyat Malaysia oleh kerajaan Singapura dan Brunei.
"Ini adalah persetujuan Malaysia dalam bentuk timbal balik dengan Singapura dan Brunei turut memberikan kebebasan kepada rakyat Malaysia memasuki negara masing-masing tanpa sekatan,” katanya semasa sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan di Putrajaya, semalam.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Wisma Putra sedang berbincang dengan Kementerian Luar Singapura mengenai perkara itu dan keputusan Malaysia untuk memberikan kelonggaran tersebut adalah seiring dengan keputusan yang dicapai semasa perbincangan.
Katanya kebenaran memasuki Malaysia tanpa sekatan hanya diberikan kepada rakyat Singapura dan Brunei yan tinggal di negara masing-masing, dan menambah bahawa pada masa ini kedua-dua negara berkenaan berserta New Zealand dan Australia diklasifikasikan sebagai Zon Hijau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sejak kerajaan Malaysia menguatkuasakan PKP pada 18 Mac bagi mengekang penularan Covid-19, rakyat Malaysia dilarang memasuki Singapura, menjejaskan ribuan yang berulang-alik ke republik itu untuk bekerja. Selain itu, rakyat Singapura yang berada di Malaysia dibenarkan pulang ke negara mereka namun tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia sepanjang PKP. - Bernama