SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Sarawak menyatakan pendirian akan mengekalkan hubungan dan kerjasama erat bersama serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga isu kepemimpinan dalam parti itu jelas.
Bahkan PH Sarawak turut memberi jaminan isu calon Perdana Menteri PH tidak akan mempengaruhi pendirian itu.
"Isu calon Perdana Menteri tidak akan mempengaruhi hubungan antara tiga pihak.
"Ini adalah masalah yang berbeza pendapat dan cara untuk mencapai tujuan akhir yang sama,"kata PH Sarawak dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen; Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng Wei Shien; dan Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Halil Abang Naili.
Jelas kenyataan itu, pendirian tersebut dibuat demi masa depan PH Sarawak khususnya untuk Pilihan Raya Negeri akan datang.
Ia juga menjadi salah satu perkara yang dibincangkan ketika pertemuan bersama pemimpin parti komponen PH Sarawak malam tadi.
Turut disentuh mengenai persediaan PH Sarawak untuk berdepan Gabungan Parti Negeri Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
"Kami bersedia bekerja dengan mana-mana parti politik yang berwibawa yang mematuhi prinsip ketelusan, pemerintahan yang baik dan keadilan untuk semua.
"Kami tidak akan bekerjasama dengan partai oportunis atau"parti satu pilihan raya" kerana parti-parti tersebut cenderung untuk mengkhianati kepercayaan pengundi setelah memenangi beberapa kerusi.
Pada masa sama kenyataan itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang masih kunci mulut tentang isu pengurusan kewangan yang didakwa dibelanjakan dengan boros.
Dakwa kenyataan itu, Kerajaan Negeri telah meminjam bon berjuta-juta dolar Amerika Syarikat dan tidak telus mengenai penggunaan wang bon tersebut selama bertahun-tahun.
"Walaupun telah dipersoalkan masih tiada jawapan. Sekiranya tidak ada yang salah, mengapa begitu berahsia dan tidak telus?
"Satu perkara yang pasti, tidak mungkin Kerajaan Negeri dapat meneruskan beberapa projek bernilai berbilion-bilion tanpa memaksa negara untuk melakukan hutang lebih jauh dalam jumlah besar. Kami tidak mahu pengulangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Sarawak," katanya.