KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd akan menambah kekerapan penerbangannya bagi laluan destinasi pilihan ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Riad Asmat berkata, ini meliputi laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu serta dari Johor Bahru ke Kuching dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, jumlah sebenar penerbangan tambahan bagi Julai akan diumumkan kemudian, katanya.
"Kami menyaksikan permintaan yang menggalakkan bagi pengembaraan domestik sejak menyambung semula operasi penerbangan.
"Oleh itu, kami akan terus memantau permintaan itu dan diharapkan dapat beransur-ansur meningkatkan kekerapan penerbangan dari hab lain seperti Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang di masa depan,” katanya.
Destinasi domestik lain AirAsia ialah Alor Setar, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Miri, Bintulu, Sibu, Sandakan, Tawau serta Labuan.
Mengulas langkah-langkah keselamatan dalam pesawat, Riad berkata adalah penting bagi AirAsia untuk terus mendidik pengembara mengenai penerbangan selamat dalam usaha membina semula keyakinan bagi melakukan semula perjalanan udara.
Sehubungan itu, syarikat itu telah melaksanakan pelbagai langkah menerusi fasa berbeza seperti pemeriksaan suhu badan, mensyaratkan bagasi tangan yang terhad, penggunaan penutup hidung dan mulut, prosedur tanpa sentuh bagi semua peringkat, standard kebersihan sewajarnya dan latihan perubatan dalam pesawat untuk anak-anak kapal.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti bahawa risiko penyebaran Covid-19 di dalam pesawat juga amat rendah kerana dilengkapi ciri-ciri yang mengurangkan kemungkinan tersebut.
Penumpang juga berada di tempat duduk yang menjadi halangan kukuh manakala aliran udara dalam kabin ditapis sepenuhnya dengan proses sama diulangi setiap 2-3 minit menggunakan tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA).
Ini disertakan dengan pendekatan keselamatan bio berperingkat yang meliputi keseluruhan perjalanan penumpang yang dapat meminimumkan lagi kebolehjangkitan dalam pesawat.
"Menerusi penerangan berterusan yang disalurkan kepada penumpang, kami percaya ini dapat membantu membina keyakinan untuk mereka kembali melakukan perjalanan udara ini,” katanya.
Menyentuh destinasi antarabangsa, Riad berkata AirAsia akan memulakan semula operasi itu sebaik keadaan pulih dan kerajaan bertindak menarik balik sekatan perjalanan serta sempadan.
Ditanya mengenai tumpuan AirAsia bagi tempoh enam bulan akan datang, beliau berkata penerbangan itu akan meneruskan usaha untuk mempelbagaikan asas hasil pendapatannya termasuk melaksanakan pendekatan lebih agresif namun mesra pasaran bagi mengembangkan perniagaan digital dan sampingannya seperti Santan, Teleport dan BigPay.
Selain itu, AirAsia juga akan turut memberi tumpuan menyokong inisiatif kerajaan bagi mempromosikan pelancongan tempatan secara bersama, katanya.
AirAsia, yang diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi kali ke-11 berturut-turut di Skytrax World Airline Awards 2019 baru-baru ini, turut memperluaskan jualan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia Tanpa Had yang ternyata mendapat sambutan luar biasa.
Malah, sejak dilancarkan pada 11 Jun lepas, lebih 40,000 penerbangan mendapat penebusan ganjaran itu dengan yang pertama dicapai hanya selepas tujuh minit pas itu mula dijual.
Pada Khamis lepas, AirAsia mengumumkan kerjasamanya dengan hotel-hotel tempatan bagi menawarkan jaminan harga terbaik dengan penjimatan lebih besar menerusi SNAP - platform kombinasi tempahan penerbangan dan hotel.
SNAP turut memanfaatkan rangkaian AirAsia yang luas di lebih 160 destinasi dengan sebahagian besarnya adalah laluan unik dan eksklusif untuk memberikan harga penerbangan terbaik.
Pada masa sama, ia turut menjalin kerjasama langsung dengan hotel-hotel tempatan bagi menawarkan nilai terbaik membabitkan harga bilik penginapan terbabit. - Bernama