SEREMBAN - Seorang wanita panik apabila anaknya yang merupakan kanak-kanak autisme agresif secara tiba-tiba lalu kereta dipandunya merempuh papan tanda sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng di Jalan Seremban-Port Dickson berhampiran Plaza Tol Mambau di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kejadian jam 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 40 tahun bersama anak perempuannya berusia 11 tahun dalam perjalanan dari arah Springhill menuju Mantin.
Iklan
Iklan
"Ketika itu mangsa sedang memandu kereta Perodua Axia dan anak perempuannya yang menghidap penyakit autisme sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.
"Apabila tiba di tempat kejadian anak mangsa yang terjaga dari tidur bertindak agresif dengan menarik tali pinggang keledar mangsa sehingga menyebabkan lehernya terjerut," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa yang panik dan terkejut tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar papan tanda polis di sekatan jalan raya di lokasi kejadian.
Bagaimanapun katanya, mangsa dan anggota polis yang bertugas di lokasi selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),"katanya.