KUALA TERENGGANU - Penternak dan pengusaha ternakan diingatkan untuk mendapatkan permit pergerakan sebelum memindahkan ternakan mereka ke lokasi lain bagi mengelakkan penyebaran penyakit kuku dan mulut (FMD).
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, ia susulan pengesanan kes 40 ekor ternakan di Kuala Nerus dan Dungun dijangkiti penyakit berkenaan.
"Walaupun jumlah kes masih pada tahap minimum iaitu 20 kandang, tetapi langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkannya daripada terus merebak ke kawasan lain.
"Kita membuat pemantauan sejak awal tahun dan memang ada beberapa kes FMD tetapi ia masih lagi terkawal dan hanya berlaku di kandang-kandang tertentu, berbanding keseluruhan di Terengganu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini.
Menurutnya, penguat kuasa Veterinar meningkatkan penguatkuasaan di jalanan supaya penternak tidak memindahkan lembu berpenyakit dari satu tempat ke satu tempat lain yang akhirnya memberikan kesan kepada seluruh ternakan.
"Setiap pergerakan ternakan, sama ada ada penyakit atau tidak, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada jabatan. Setakat ini sebanyak 10 kes tiada permit pergerakan direkodkan.
"Kita harapkan penternak mendapatkan permit pergerakan sebelum memindahkan lembu, ia peraturan asas yang wajib mereka patuhi," katanya.
Katanya, FMD pada ternakan mula dikesan pada awal Februari lalu, iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jumlahnya tidak ketara susulan pergerakan yang terhad, namun berlaku pertambahan lokasi jangkitan apabila kelonggaran pergerakan dilaksanakan.
"Selain daripada pemantauan dan penguatkuasaan, kita dapat membataskan penyebaran penyakit FMD ini dengan adanya suntikan yang dijalankan dan kita harap dalam tempoh sebulan ini, ia akan terkawal," katanya.
Dr Mohd Termizi berkata, suntikan pelalian FMD turut dilakukan di kawasan dijangkiti termasuk kampung terlibat.
"Sekarang ini, kita buat secara agresif sepanjang PKPP ini kerana kita sudah boleh bergerak dengan lebih mudah sekarang," katanya.
Beliau turut mengingatkan pembeli sentiasa berwaspada terhadap lembu yang dijual pada harga lebih rendah.
"Biasanya barang yang berkualiti, mustahil dikenakan harga yang rendah. Kita harap orang ramai dan penternak terutama yang akan menjalankan ibadah korban mengambil perhatian tentang ini dan penternak perlu lebih bertanggungjawab agar tidak merosakkan industri ini," katanya.