PEKAN- Calon BN bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Shahrim Md Zin memulakan siri kempen dengan turun padang mendekati pengundi di sekitar bandar Dara, Chini, di sini hari ini.
Mohd Shahrim berkata, beliau berusaha mematuhi garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen termasuk amalan penjarakan sosial ketika menemui pengundi.
Menurutnya, situasi kempen kali ini berbeza berikutan normal baharu berikutan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memerlukan setiap petugas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR.
"Bagi tujuan kempen, kita perlu melakukan perubahan dan pendekatan selain menambah baik jadual kempen agar selari dengan SOP ditetapkan SPR.
"Walaupun Chini kawasan zon hijau, kita tetap perlu mematuhi SOP dengan mengambil suhu badan, menggunakan pelitup muka dan pensanitasi tangan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan acara motosikal lasak Flagg OFF Motocross Chini pagi, tadi.
Turut hadir Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.
Mohd Shahrim berkata, beliau akui penduduk sudah terbiasa bersalaman bila bertemu dengannya namun ketika ini amalan itu tidak digalakkan.
"Agak sukar juga kerana saya kenal rapat dengan penduduk di sini dan sudah menjadi kebiasaan untuk bersalaman bila berjumpa di mana-mana,"katanya.
Beliau berkata, satu perbincangan sedang dibuat bersama petugas dan pimpinan parti bagi membincangkan kaedah terbaik dalam memastikan tempoh kempen dipenuhi program yang boleh memaksimumkan peluang bertemu seberapa ramai pengundi di kawasan DUN Chini.
"Apapun saya cuba lakukan yang terbaik bagi memastikan SOP kempen dipatuhi demi kepentingan bersama,"katanya.
Terdahulu beliau memulakan kempen seawal jam 8.30 pagi melalui program mengopi sebelum menemui peniaga dan pengunjung pasar tani kekal Chini.
Sementara itu, calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin juga mengambil peluang hari pertama berkempen dengan program pertamanya di Pasar Tani Kekal Bandar Dara.
Seorang lagi calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli mengadakan sidang media pelancaran manifesto 'Bebas Pro Rakyat' juga di bandar Dara.