PEKAN - Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli menafikan dakwaan yang mengatakan beliau menerima tajaan daripada individu yang berkepentingan selepas membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Menurutnya, keputusan untuk menjadi calon Bebas dibuat pada saat akhir adalah kehendak beliau sendiri dan bukan ditaja oleh sebuah parti pembangkang di negeri ini.
Mohd Shukri berkata, banyak isu rakyat yang gagal diketengahkan oleh wakil rakyat terdahulu membuatkan beliau mahu bertanding sekaligus mengangkat suara rakyat di Chini.
"Bila saya kata hendak bertanding...ada yang buat spekulasi kata saya dibayar oleh parti itu dan ini. Tapi hakikatnya tiada ada sesiapa yang taja.
"Semua atas kerelaan diri saya bertanding demi memperjuangkan nasib rakyat khususnya warga Chini yang mengalami masalah lambakan warga asing yang bebas berniaga di DUN Chini dan masalah alam sekitar.
"Itu adalah matlamat saya menjadi calon di mana suara-suara rakyat dapat saya angkat walaupun ada pihak yang meminta saya menarik diri atas alasan penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Warung ABC Mekla di Chini 2 hari ini.
Sebelum ini ada dakwaan di media sosial bahawa Mohd Shukri ditaja pihak tertentu bagi memecahkan undi penduduk Chini pada PRK kali kini.
Mohd Shukri berkata, beliau tidak takut pada kekalahan memandangkan sebelum ini sudah mengalami beberapa siri kekalahan di beberapa PRK di Pahang.
''Saya tidak risau dengan kekalahan...saya adalah aktivis masyarakat...kalau saya kalah saya tetap bawa isu rakyat di Chini melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saya.
"Perjuangan saya bukan bermotifkan politik tetapi lebih kepada perjuangan dan amanah masyarakat yang berdepan dengan pelbagai masalah rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukri menyatakan keyakinan bahawa wang deposit yang dipertaruhkan tidak mungkin akan hilang.
Katanya, trend pengundi boleh berubah, justeru Barisan Nasional (BN) jangan terlalu mendabik dada.
"BN jangan rasa kuat...kita tidak tahu kekuatan calon mungkin ada kejutan keputusan PRK nanti," katanya.