Lebih 90 peratus premis gunting rambut patuh SOP

Iklan
Alexander sedang mencuba stimulasi treler ketika melawat Syarikat Prifaria Sdn Bhd tadi.

BUKIT MERTAJAM - Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kedai gunting rambut dan salon kecantikan melebih 90 peratus di seluruh negara setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah memeriksa 551 premis kategori tersebut dengan 1,000 pemeriksaan perkhidmatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua pemeriksaan itu dibuat dalam Ops Catut 7.0 (Dandanan dan Gunting Rambut) sejak 10 Jun hingga 19 Jun lalu.

"Daripada pemeriksaan tersebut, setakat ini kita mengeluarkan 788 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Iklan

"Selain itu, kita juga mengeluarkan 17 notis amaran, bagaimanapun belum ada kedai gunting rambut atau salon yang diarahkan tutup," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Syarikat Prifaria Sdn Bhd di sini tadi.

Alexander berkata, kementerian akan terus memantau dan memeriksa semua premis dandanan dan gunting rambut dari masa ke masa.

Iklan

"Kita tidak memerlukan aduan untuk membuat pemantauan kerana pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pemilik kedai gunting rambut dan salon boleh mengenakan caj yang berbeza-beza namun wajib mempamerkan harga di premis masing-masing.

"Penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut hanya dibenar mengenakan caj tambahan untuk dua barangan kegunaan pelanggan iaitu alas gunting rambut pakai buang serta set sarung tangan. Bagaimanapun, caj yang dikenakan perlu berpatutan dengan merujuk kos belian bagi penggunaan setiap barangan terbabit.

"Selain itu, pemilik perlu mempamerkan kesemua harga pada premis masing-masing bagi membolehkan pelanggan mengetahui terlebih dahulu harga yang akan dicaj.

"Kita tidak ada harga kawalan tetapi harga perlu dipamer. Jika gagal ia dianggap satu kesalahan dan ini adalah salah satu cara untuk kita menjaga hak pengguna," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan persatuan penternak ayam bagi membincangkan beberapa perkara termasuk harga dan bekalan.