PUTRAJAYA - Seramai 7,182 individu telah disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 10 Jun hingga 19 Jun lalu di seluruh pintu masuk negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, 7,158 individu didapati negatif koronavirus (Covid-19) dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.
Iklan
Iklan
"Seramai 24 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital bagi menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Hari Ke-96 dan Hari Ke-12 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Katanya, pada 20 Jun (semalam) seramai 528 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Australia, Jepun,Vietnam, India, Belanda dan Korea Selatan.
"Seramai 526 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine) manakala dua lagi dibawa ke hospital," katanya.