KOTA BHARU - Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim masih diteruskan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam insiden pada November dua tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dua atau lebih individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Kita masih menunggu hasil siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian Allahyarham disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
"Oleh sebab itu, pihak polis perlu menjalankan siasatan dan perkara ini sudah dibentangkan dalam Kabinet serta seterusnya Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong di sini hari ini.
Beliau berkata, dari segi tempoh untuk mendapat hasil siasatan tetap ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi tetapi bagi kes jenayah tidak ada tempoh masa yang khusus.
"Bagi kes jenayah siasatan akan terus berjalan sehingga berhasil menemukan pelaku untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin Hassan berkata, cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kini pada peringkat terakhir untuk dibawa ke Kabinet selewat-lewatnya dua minggu depan.
"Akta ini di bawah Kementerian Pengangkutan tetapi kementerian dan bahagian undang-undang turut terlibat untuk sama-sama memberi input bagi mencari suatu pendekatan yang berkesan bagi mengatasi kemalangan maut akibat pemandu mabuk.
"Pindaan juga ke arah membendung kesalahan memandu ketika mabuk walaupun tidak melibatkan kemalangan. Perkara ini akan diberi penekanan sebagai langkah pencegahan kerana membendung pemanduan ketika mabuk itu boleh mengelakkan kemalangan maut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan membina Mahkamah Bachok yang baharu dan lebih efisien bagi menggantikan bangunan sedia ada yang sudah berusia 40 tahun di daerah itu sekali gus menampung peningkatan kes.
"Kita sudah kenal pasti tanah seluas 1.2 hektar di Bachok berhampiran pejabat tanah untuk pembinaan mahkamah baharu yang dianggarkan bernilai RM40juta dan dilengkapi dua dewan perbicaraan.
"Cadangan pembinaan ini harap mendapat kelulusan menerusi RMK-12 (Rancangan Malaysia ke-12) dan akan mengambil masa untuk siap dalam tempoh dua tahun,” katanya