PONTIAN - Seorang wanita menganggap bencana banjir melanda kampungnya kali ini sebagai paling buruk dialaminya setakat ini.
Siti Khadijah Rahman, 36, dari Kampung Sawah, Pekan Nanas berkata, air naik dengan cepat petang semalam, menyebabkan dia bersama empat anaknya berusia 13 tahun hingga enam bulan terpaksa dipindahkan dengan menaiki jentolak oleh penduduk kampung kerana suaminya, Samat Saman 51, berada di tempat kerja.
"Ini banjir paling teruk. Air naik sehingga paras satu meter, mencecah hampir paras pinggang. Biasanya kalau hujan lebat, air cuma memenuhi kawasan laman rumah tapi kali ini air naik memenuhi keseluruhan rumah.
"Lepas solat Zuhur semalam, air sungai di belakang rumah mula melimpah. Saya cuma selamatkan anak- anak kerana mereka masih kecil dan tidak sempat langsung hendak selamatkan barang dalam rumah. Semuanya sudah tenggelam. Saya hanya bawa beberapa helai baju," katanya.
Menurut wanita tersebut, jentolak terpaksa digunakan kerana keadaan air banjir yang deras selain terdapat kayu balak menghalang laluan keluar dari kawasan rumahnya.
Tambahnya, dia dan anak- anak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara( PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawah setelah kediamannya termasuk kira- kira 10 buah rumah penduduk kampung ditenggelami air berikutan kedudukan rumah mereka yang terletak berdekatan sungai.
"Kejadian banjir ini mengingatkan penduduk kepada tragedi tanah runtuh Gunung Pulai pada tahun 2001.
"Selepas kejadian tanah runtuh itu, kampung ini tidak pernah dilanda banjir teruk. Tahun ini kejadian banjir buruk berlaku kembali seperti 19 tahun lalu," katanya.
Setakat petang tadi, bilangan mangsa banjir ditempatkan di PPS Kampung Sawah seramai 148 orang daripada 33 penduduk manakala daerah Pontian terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Johor setakat petang tadi, iaitu seramai 370 orang daripada 91 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, bantuan makanan, pakaian dan keperluan asas lain diberikan agensi dan jabatan kerajaan berkaitan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan jabatan kerajaan berkaitan terutama Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS) bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kampung Sawah.