'Rezeki singgah solat'

Iklan
Nur Farhana bersama suami dan empat anaknya melihat gerhana matahari separa menggunakan cermin mata penuras cahaya di pekarangan Masjid Negeri di Ipoh hari ini.

IPOH -"Saya teruja, ini kali pertama dapat tengok, ingatkan dah tak ada peluang kerana kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," kata Nur Farhana Hamdan, 34.

Nur Farhana dari Puncak Jelapang di sini diberi kebenaran menyaksikan fenomena gerhana matahari separa di Masjid Negeri selepas singgah untuk solat di situ bersama suami dan empat anaknya hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebelum ini beliau tidak berkesempatan melihat fenomena itu kerana kekangan kerja walaupun sering diajak suami dan anak-anak.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Falak Jabatan Mufti Perak, Fatimah Ayoub menggunakan kamera digital untuk melihat gerhana matahari separa di pekarangan Masjid Negeri di Ipoh hari ini.

"Kali terakhir suami dan anak-anak tengok pada 2018 lalu. Alhamdulillah kali ini kami sekeluarga dapat lihat.

Iklan

"Perasaan sungguh syahdu di mana kita dapat melihat kebesaran dan kekuasaan ALLAH yang Maha Esa," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Perak, Mohamad Faizal Jani berkata, kemudahan teleskop tidak dibuka kepada orang awam atas faktor pelaksanaan PKPP.

Iklan

Bagaimanapun katanya, orang awam yang singgah menunaikan solat dan mahu menyaksikan sendiri fenomena berkenaan adalah dibenarkan menggunakan dua teleskop dan dua total station yang disediakan.

Kira-kira 30 jemaah berpeluang menunaikan solat sunat gerhana matahari di Masjid Negeri hari ini dengan pematuhan penjarakkan sosial.

"Walaupun cuaca agak berawan dan berangin, cerapan dapat dilihat dengan jelas terutama pada waktu kemuncak.

"Fenomena ini bermula dari jam 2.42 petang dan berakhir pada jam 4.56 petang. Gerhana matahari separa pula mencapai litupan maksimum pada jam 3.54 petang tadi," katanya.

Aktiviti cerapan kemudiannya disusuli dengan solat sunat gerhana disertai hampir 30 jemaah dipimpin Imam Masjid Negeri, Muhammad Ali Mohammad Noh.