Warga emas OKU dipindahkan bomba ke PPS

Iklan
Izra( kanan) bersama ibunya Norhayati di PPS Kampung Sawah.

PONTIAN - Anggota bomba memindahkan seorang warga emas yang juga orang kurang upaya ( OKU) ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan rumahnya di Kampung Air Putih Pekan Nanas dilanda banjir kilat tengah malam tadi.

Norhayati Shadan, 58, bersama anaknya Izra Ali, 28 menaiki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas jam 12.00 tengah malam ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawah.

Iklan
Iklan

Menurut Izra, ibunya tidak mampu bergerak selain patah kaki kanan selepas terlibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

"Mak risau dan asyik tanya keadaan rumah sebab hujan tidak berhenti sejak petang kelmarin. Saya cuba rahsiakan (situasi banjir) sebab tak mahu mak risau. Tetapi bila sudah malam, saya pula bimbang takut air naik secara mendadak," katanya.

Iklan

Menurutnya, bapa saudaranya yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka meminta bantuan dari bomba untuk memindahkan ibunya ke PPS SK Kampung Sawah.

"Takut tengok hakisan tanah di tepi rumah pada sebelah petang. Ingatkan hujan akan berhenti petang itu, tapi keadaan makin teruk.

Iklan

"Saya terdengar bunyi kuat, tanah jatuh ke sungai. Memang hendak pindah ke PPS kerana bimbang keselamatan saya dan ibu. Ayah tiada di rumah kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat berkata, dua anggota bomba bersama sebuah jentera EMRS ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai keadaan warga emas tersebut yang perlu dipindahkan ke PPS.

Menurut beliau, warga emas itu berjaya dipindahkan ke PPS yang terletak kira- kira dua kilometer (km) dari rumahnya.