SEMPORNA -"Jumpa di mahkamah.” Itu jawapan ringkas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika diminta mengulas tindakan Tan Sri Musa Aman menuntut RM1 bilion sebagai respons kepada pendedahan mengenai writ saman yang difailkan Yayasan Sabah terhadap bekas ketua menteri itu.
"Mereka (Musa dan peguamnya) sudah keluarkan kenyataan untuk tuntut RM1bilion, tidak apa. Kita jumpa di mahkamah,” kata Mohd Shafie yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.
Iklan
Iklan
Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peribadi dan kunci rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria kepada ketua keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Sri Aman, hari ini.
Pada Jumaat, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria, dalam sidang media memaklumkan bahawa satu writ saman telah difailkan terhadap Musa bagi mendapatkan kembali RM872 juta milik yayasan itu yang didakwa hilang disebabkan perjanjian berkaitan aktiviti pembalakan.
Bagaimanapun pada hari sama, Musa melalui peguamnya Tengku Fuad Tengku Ahmad menafikan perbuatan salah semasa menjalankan tugas sebagai Pengerusi Yayasan Sabah (2003-2008) dan mendakwa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah satu skandal dan palsu semata-mata.
Semalam, Musa melalui peguamnya itu mengeluarkan surat tuntutan kepada Mohd Shafie dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, yang antara lain meminta mereka membayar RM1 bilion kepada badan amal pilihan beliau.
Musa juga menuntut supaya permohonan maaf secara terbuka melalui semua media, termasuk media sosial. - Bernama