GEORGETOWN - Seorang lelaki maut setelah terjatuh ketika sedang memasang paip di bumbung bangsal sampan dalam kejadian di Sungai Pinang, di sini petang tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Lim Cheang Thiang berumur lingkungan 49 tahun dan bekerja sebagai nelayan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan berkata, siasatan awal kejadian mendapati mangsa sedang memasang paip air atas bumbung bangsal sampan bersama abangnya.
"Siasatan mendapati mangsa telah memanjat di bahagian atas bumbung bangsal yang tinggi lebih kurang 10 kaki untuk memasang paip air tersebut.
"Tiba-tiba bumbung tersebut telah runtuh serta pecah, abang mangsa mendapati adiknya telah terjatuh terkena palang kayu dan terus jatuh di atas simen lantai di bawah bangsal tersebut," katanya.
Katanya, mangsa kemudian didapati tidak sedarkan diri.
"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan.
"Bagaimanapun mangsa telah didapati meninggal dunia," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.