[VIDEO] Gelang emas pulut dakap jadi ‘buruan’ di Pasar Payang

Iklan
Sopiah menunjukkan sebahagian daripada gelang emas pulut dakap yang dijual di kedainya.

KUALA TERENGGANU – [VIDEO] Jika tahun lalu rantai tangan emas ‘koko sajat’ menjadi ‘kegilaan’, tahun ini gelang emas ‘pulut dakap’ pula menjadi buruan penggemar barangan kemas yang mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang di sini.

Pengurus Kedai Emas Sofea, Sopiah Saleh Zainal, 33, berkata, permintaan terhadap gelang emas yang mula popular sejak awal tahun ini semakin meningkat terutama sejak tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

Iklan
Iklan

"Gelang emas pulut dakap ini mula tular dan mendapat permintaan tinggi sejak awal tahun ini namun dari segi pemasaran ia terhenti seketika disebabkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Setelah kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri dalam tempoh PKPP ini, kita lihat lebih ramai yang berkunjung ke Pasar Payang terutama pengunjung luar Terengganu untuk mencari gelang tangan emas yang bercorak begini,” katanya ketika ditemui di premisnya di Pasar Payang hari ini.

Iklan

Ditanya mengapa gelang corak pulut dakap diberi gelaran begitu katanya, ia berdasarkan rupa bentuk gelang itu yang mirip dengan kuih tradisional yang popular di belah utara dan pantai timur.

"Mungkin disebabkan gelang emas ini mirip dengan kuih itu ia dinamakan sebagai pulut dakap. Gelang emas pulut dakap agak unik kerana ia sesuai untuk semua peringkat usia dari kanak-kanak sehingga dewasa.

Iklan

"Di premis ini saya jual bermula seberat enam hingga 50 gram. Jika mahu lebih berat seperti 100 gram lagi kita perlu ambil tempahan terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Sopiah, walaupun buat masa ini harga emas naik, permintaan terhadap barangan kemas masih tinggi terutama pada hujung minggu.

"Di Pasar Payang harga emas 916 ketika ini sekitar RM225 hingga RM230 bagi satu gram. Ia dilihat lebih rendah berbanding di tempat lain yang kebanyakan harganya bermula RM230 ke atas.

"Bagi saya, walaupun harga emas agak mahal buat masa ini, ramai yang ada kesedaran dan berasa tidak rugi membeli emas kerana ia boleh dibuat pelaburan pada masa akan datang,” katanya.

Jumlah pengunjung di Pasar Payang mencecah 10,000 dalam tempoh tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Sopiah berkata, kedai emasnya menerima sehingga 50 pelanggan yang keluar masuk setiap hari terdiri dalam kalangan penduduk tempatan, Kuala Lumpur, Kuantan serta beberapa negeri lain.

"Pelanggan dari Terengganu pun ada. Kebanyakan pelanggan tetap saya sendiri dalam kalangan orang Terengganu yang bekerja di luar, jika ada peluang dan rezeki mereka akan balik ke sini untuk dapatkan emas dengan harga berpatutan,” katanya.

Sopiah berkata, selain gelang emas pulut dakap, terdapat beberapa corak lain seperti gelang emas Italy dan Boba yang turut menjadi pilihan penggemar barangan kemas di Pasar Payang terdiri dalam kalangan gadis dan remaja.

"Beberapa corak emas ini mendapat perhatian pemakai yang terdiri dalam kalangan golongan muda mudi di mana corak dan saiznya agak moden dan lebih sesuai digayakan mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pasar Payang mendapati jumlah pengunjung semakin bertambah dan urusan jual beli semakin rancak dengan kehadiran ramai pelancong luar dan tempatan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, pengunjung yang berkunjung ke situ mencecah sehingga 10,000 orang minggu ini bagi tempoh tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Alhamdulillah, jumlah pengunjung ke Pasar Payang semakin ramai dan antara barangan yang dicari ialah keropok lekor, keropok keping, batik, songket dan emas.

"Dengan peningkatan ini ia memberikan kelegaan kepada peniaga yang tidak dapat melakukan sebarang jualan dalam tempoh 45 hari sebelum ini termasuk sebanyak 25 buah kedai emas yang beroperasi di Pasar Payang.

"Kita harap sekiranya kebenaran merentas negeri ini berterusan ia akan dapat membantu para peniaga untuk ‘bernafas’ kerana sebelum ini ada antaranya terpaksa berhutang untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sebahagian daripada koleksi gelang emas pulut dakap yang dijual di Kedai Emas Sofea.