PEKAN - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini merasakan suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini tidak semeriah sebelum ini berikutan ia dilakukan dalam keadaan normal baharu.
Rata-rata penduduk mendakwa tiada bendera parti dinaikkan di Chini dan suasananya tidak ubah seperti biasa.
Rosli Abdullah, 41, berkata, bahang pilihan raya kurang dirasai meskipun ketiga-tiga calon PRK kali ini turun padang bertemu penduduk.
Menurutnya, calon juga hanya diiringi beberapa individu sahaja untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk setempat.
"Kita nampak kempen pilihan raya tidak meriah seperti sebelum ini, bahang tidak 'menyegat' seperti pilihan raya lalu.
"Bagaimanapun, kita sebagai penduduk akur kerana situasi sekarang semua orang perlu menjaga jarak sosial mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.
Rosli berkata, penduduk di kawasan itu hanya mengenali Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zin dan calon Bebas; Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.
Namun, katanya, walaupun kurang mengenali seorang lagi calon (calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli) penduduk di sini berharap calon yang memenangi PRK itu akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik.
Sementara itu, Mek Wok Mohamad, 61, berkata, beliau mengetahui berlakunya PRK Chini selepas melihat pengumuman di televisyen.
"Saya tidak perasan langsung kempen PRK sudah bermula sebab suasananya biasa sahaja.
"Bila lihat calon melawat pasar, baru saya tahu ada pilihan raya, terus terang saya cakap aura itu kurang," katanya.
PRK kali ini menyaksikan tiga penjuru iaitu calon BN, Mohd Shahrim Md Zin dan dua calon Bebas; Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, dan Mohd Shukri Mohd Ramli.
PRK Chini adalah pilihan raya pertama yang diadakan sejak negara dilanda koronavirus (Covid-19) susulan kematian penyandang Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung.