TUMPAT - Sebuah lori yang membawa 20 ekor kambing dipercayai diseludup dari Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di pangkalan haram antara Pisau Raut dan Nibong di sini, semalam.
Lori berkenaan ditahan dalam serbuan Op Benteng Covid yang diadakan pada jam 11 malam apabila pihak berkuasa berkenaan menemukan semua kambing jantan yang dianggarkan bernilai RM24,000 itu, bagaimanapun pemandunya berjaya menghilangkan diri ke dalam semak.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan kambing dari negara jiran ke Malaysia, pihaknya membuat rondaan bermotosikal di sekitar pangkalan haram antara Pisau Raut dan Nibong menghala ke Pengkalan Kubor.
"Semasa rondaan, polis melihat sebuah lori jenis Inokom berwarna putih dalam keadaan mencurigakan. Polis memintas lori tersebut sambil memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa kepada pemandu.
"Bagaimanapun pemandu itu bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi lorong kampung dan terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran hingga gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seterusnya pemeriksaan lanjut dijalankan dan mendapati terdapat 20 kambing dipercayai diseludup dari Thailand.
"Hasil siasatan awal mempercayai kambing-kambing tersebut diseludup dari negara jiran Thailand untuk pasaran tempatan melalui pangkalan haram bagi mengelakkan cukai kerajaan atau pemeriksaan pihak berkuasa.
"Lori Inokom bernilai RM25,000 bersama kambing-kambing itu dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu dan diserahkan kepada jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36 Akta Binatang 1953,” katanya.