KUALA LUMPUR - Sekumpulan lelaki ditahan polis kerana menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dalam dua operasi berasingan di sekitar ibu negara.
Dalam operasi pertama Op Samseng Jalanan kira-kira jam 1 pagi semalam, enam lelaki ditahan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), manakala dua lagi lelaki ditahan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, kesemua lapan lelaki berusia 15 hingga 20 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.
"Antara aksi dilakukan suspek adalah 'superman', zig zag, kejar-mengejar dan bersaing sesama sendiri.
"Antara kesalahan lain yang dikesan adalah mengubah sistem enjin motosikal, ekzos, tayar lebih kecil, tiada cermin sisi serta tidak mempunyai lampu depan dan belakang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Tambah Zulkafli, daripada lapan suspek yang ditahan, dua adalah remaja berusia 15 tahun dan tidak bersekolah.
Menurutnya, suspek lain pula ada yang bekerja sebagai mekanik, penghantar makanan, pengawal keselamatan dan lain-lain.
Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.