Peralihan kuasa Tun M kepada Anwar akan dibuat secara bertulis

Iklan
Mohamad Sabu, Lim Guan Eng

SHAH ALAM - Peralihan kuasa daripada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kesembilan selama enam bulan kepada Anwar akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka.

Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP turut berpendapat semua pihak mampu menunggu selama tempoh enam bulan bagi melihat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya konsisten menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian.

"Dengan latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan kesemua lima parti iaitu PKR, Amanah dan DAP daripada Pakatan Harapan (PH) dan Warisan (Parti Warisan Sabah) serta kelompok penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu.

Iklan

"Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10," katanya hari ini.

Kenyataan tersebut sebagai respons terhadap kenyataan PKR sebelum ini yang telah mengumumkan menolak pilihan kedua untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan peralihan kuasa kepada Anwar selepas tempoh enam bulan.

Iklan

Kenyataan tersebut turut menyebut walaupun Dr Mahathir, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan PKR saling tidak bersetuju, kesemua pihak mencari titik persamaan untuk menuntut kembali mandat yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Ini sebuah perjuangan suci untuk mendaulatkan demokrasi serta nilai undi jutaan rakyat Malaysia yang memilih untuk menukar kerajaan bagi menyingkirkan pentadbiran korup dan kleptokratik yang melibatkan puluhan bilion dolar Amerika.

"Usaha-usaha masih berjalan untuk memulangkan wang yang telah hilang walaupun pengguguran pertuduhan terhadap mereka yang terlibat dalam kehilangan wang tersebut ternyata menjadi halangan," katanya.

Katanya, dalam usaha menghormati mandat pilihan raya yang diberikan rakyat untuk menukar kerajaan pada 2018, ada pihak mengkritik kerana lambat bertindak menuntut kembali mandat rakyat namun apabila laluan ditemui, Pakatan Harapan dilabel pula sebagai gila kuasa.

"Ini tidak adil kerana walaupun kami tidak gentar menjadi pembangkang, rakyat telah mengundi pada tahun 2018 supaya kami mengambil alih kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut jelasnya, DAP dan Amanah telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak namun malangnya mengakui, usaha itu masih belum berjaya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap PKR dan Dr Mahathir, bersama-sama Warisan tidak terus menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu.

"Melihat masing-masing sebagai musuh dan bukan rakan sekutu tidak akan membantu perjuangan rakyat bahkan hanya membantu mereka yang telah menumbangkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat dengan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat," katanya.

Dalam masa sama katanya, pengundi PH tidak akan sesekali memaafkan mana-mana pemimpin yang telah mengkhianati amanah diberikan dan memberitahu pihaknya menghormati pemimpin PH yang berani berdepan ugutan dan godaan bagi menolak kerajaan Perikatan Nasional yang disifatkan tiada mandat rakyat.