Tiga termasuk warga Bangladesh ditahan miliki 21kg syabu

Iklan
Risikin menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hari ini.

SUBANG JAYA - Seramai tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Subang Jaya kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu di Bandar Sunway di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kesemua individu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam.

Iklan
Iklan

"Kita merampas 20 bungkusan berisi syabu yang disorok di dalam bonet kereta Proton Iriz.

"Anggaran berat dadah tersebut kira-kira 21 kilogram bernilai RM800,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.

Iklan

Risikin berkata, ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah.

"Semakan lanjut turut mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM10,000 serta dua kereta iaitu Proton Iriz dan Honda City.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam kes berasingan, Risikin memaklumkan pihaknya memberkas seorang pemandu lori yang disyaki mengedar 54 bungkusan plastik berisi daun ketum di Bukit Puchong di sini, Jumaat lalu.

"Kita mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tasik Prima pada jam 10 malam. Kita telah mengekori lori berkenaan sehingga Jalan Maju Jaya sebelum kenderaan itu bertindak memecut laju setelah menyedari kehadiran polis.

"Kita telah mengejar lori berkenaan dan berjaya memintasnya di persimpangan lampu isyarat di Puchong Prima 2. Seorang lelaki berusia 30-an yang memandu lori tersebut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, anggaran bungkusan yang dirampas itu adalah 12 kilogram.

"Siasatan lanjut mendapati suspek membawa bungkusan plastik berisi daun ketum itu dari Teluk Intan, Perak untuk diedarkan di sekitar Bukit Puchong. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.