SIBU - Gara-gara hendak mendapatkan pinjaman RM15,000 sebagai modal untuk memulakan perniagaan dalam talian, seorang jurujual di sini kerugian RM16,970 selepas terpedaya dengan skim pinjaman yang tidak wujud, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat hari ini.
Katanya, jurujual berusia 25 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas mendakwa dirinya ditipu satu sindiket yang menawarkan pinjaman mudah tetapi memintanya membuat pelbagai pembayaran terlebih dahulu sebelum pinjaman itu dapat diproses.
Iklan
Iklan
"Mangsa mulai tertarik dengan iklan tawaran pinjaman yang dipaparkan dalam laman Facebook pada 12 Jun lepas dan terus berhubung dengan seorang individu bernama Albert yang mendakwa sebagai petugas bank berkenaan melalui WhatsApp,” katanya kepada media di sini.
Sejak 18 hingga 20 Jun lepas, jurujual itu membuat 10 transaksi pembayaran keseluruhannya, berjumlah RM16,970 ke empat akaun bank atas nama individu berasingan dan hanya menyedari dirinya ditipu setelah individu yang menawarkan pinjaman itu memberikan pelbagai alasan belum dapat memproses permohonannya dan masih memintanya membuat pembayaran lain.
"Ekoran laporan polis yang dibuat jurujual ini, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - Bernama