JOHOR BAHRU - Polis Johor giat memburu seorang lelaki dikenali dengan nama 'Boy Setan' kerana dipercayai suspek utama bagi kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke seberang tambak, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Boy Setan atau nama sebenarnya Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut menjadi buruan polis di negaranya, Singapura.
"Kita percaya suspek masih berada di Johor. Dia datang sekali sekala untuk operasi (menghantar dadah dan kemudian masuk balik ke Singapura).
"Kes seumpama ini merupakan kali pertama. Saya difahamkan dron ini beratnya kurang 20 kilogram tak perlu dapatkan kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor di Johor Bahru di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Kelmarin media Singapura melaporkan pihak berkuasa republik itu menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun di negara itu, kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.
Pada 17 Jun lalu, polis Singapura mengesan aktiviti pesawat tanpa pemandu yang luar biasa di sekitar Taman Takungan Kranji dan memerhatikan pesawat tanpa pemandu terbang dengan beg di atasnya.
ARTIKEL BERKAITAN Suspek seludup dadah guna dron ke Singapura diburu