KUALA TERENGGANU - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menggariskan sembilan panduan bagi membantu masyarakat membuat persediaan mengharungi cabaran kewangan pasca moratorium.
Ketua Cawangan AKPK Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata, antara panduan berkenaan adalah bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September dan pinjaman harus dibayar seperti biasa.
Menurutnya, orang ramai juga perlu menghubungi institusi kewangan bagi mendapatkan maklumat berhubung ansuran bulanan terkini yang harus dibayar selepas tamat moratorium dan menyemak semula kedudukan kewangan terkini.
"Panduan lain ialah mengkaji semula bajet bulanan, jana pendapatan baharu, tingkatkan pengetahuan dalam bidang sedia ada atau baharu yang memungkinkan kita mendapat peluang pekerjaan lebih cerah, teroka insentif Covid-19 dan tidak terjebak dengan skim penipuan kewangan.
"Jangan tunggu saat akhir sebaliknya rancang awal pembayaran pinjaman sebelum moratorium berakhir, hubungi AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan wang dan hutang,” katanya dalam satu kenyataan.
Junainah berkata, AKPK bersedia untuk memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang pasca moratorium.
Katanya, pemberian enam bulan moratorium bermula April lalu antara insentif Covid-19 yang memberikan banyak manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan yang kehilangan sumber pendapatan.
"Pelaksanaan moratorium ini selama tiga bulan bakal berakhir pada 30 September nanti.
"Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi tetap memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.
"Bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar diharap mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institutsi kewangan masing-masing atau AKPK.
"AKPK boleh dihubungi di talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta pautan bit.ly/AKPKdmp2020,” katanya.