Abdul Azeez tarik balik rayuan permohonan pindah kes

Iklan
Abdul Azeez Abdul Rahim - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif menarik balik rayuan masing-masing terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk memindahkan kes mereka dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, manakala Abdul Latif menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim yang bersidang di Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Hadhariah Syed Ismail serta Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin seterusnya membatalkan kedua-dua rayuan tersebut.

Hakim Yaacob yang mempengerusikan panel itu berkata kes kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Iklan

Terdahulu, peguam, M Athimulan yang mewakili dua beradik berkenaan memaklumkan mahkamah tentang arahan kedua-dua anak guamnya untuk menarik balik kedua-dua rayuan terbabit.

Kedua-dua kes didengar secara berasingan di mahkamah hari ini.

Iklan

Abdul Azeez, 53, dan Abdul Latif, 62, diberikan pengecualian oleh mahkamah untuk tidak menghadiri prosiding hari ini.

Athimulan menjelaskan kepada mahkamah bahawa Pejabat Peguam Negara telah memohon untuk memindahkan kes Abdul Azeez dan Abdul Latif dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan pihak pembelaan menyokong permohonan pihak pendakwaan.

Beliau berkata, mereka kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 28 November lepas menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, namun pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan.

Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Untuk kes pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abdul Latif pula dituduh bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pendengaran ditetapkan pada 18 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling. - Bernama