PEKAN - [DIKEMASKINI] Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli membuat laporan polis berkaitan satu poster kempen memaparkan kononnya beliau sebagai calon yang ditaja PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai depan.
Mohd Shukri tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tersebut kerana sudah sembilan tahun keluar daripada PKR.
"Saya amal politik matang dengan tidak menyentuh peribadi calon lain. Tapi tersebar fitnah di media sosial, saya dituduh calon PKR walhal saya sudah sembilan tahun tidak bersama PKR dan telah ditamatkan keahlian.
"Bukti sila klik semakan keahlian PKR di laman web https://semakan.keadilanrakyat.org. Saya amat kecewa dan sedih terhadap pihak yang membuat fitnah ini. Saya calon Bebas logo kunci. Kenapa perlu buat fitnah pada calon Bebas yang tiada apa-apa kekuatan untuk membeli rakyat dengan duit.
"Saya berjuang dengan kudrat dan semangat. Saya harap pihak yang buat, hentikan," katanya ketika sidang media di Balai Polis Chini, di sini hari ini selepas membuat laporan sekitar jam 1.17 petang.
Menurutnya, beliau memberi tempoh sehingga 48 jam untuk pihak-pihak berkaitan 'menurunkan' semula poster fitnah yang disebarkan menerusi media sosial itu.
"Jika tidak, saya akan mengambil tindakan undang-undang. Saya telah mengenal pasti beberapa laman Facebook yang meletakkan poster tersebut yang jelas memaparkan fitnah bahawa saya dari parti PKR sedangkan saya bertanding atas tiket Bebas dengan logo kunci," katanya.
Beliau berkata, fitnah tersebut boleh mendatangkan impak buruk terhadapnya lebih-lebih lagi dalam kalangan pengundi PKR yang sedia maklum bahawa dia telah keluar parti itu sejak 2011.