BERDASARKAN analisis TNB, sepanjang tempoh PKP, terdapat peningkatan sebanyak 20 hingga 50 peratus penggunaan tenaga elektrik oleh pengguna domestik.
Oleh itu, selepas PKP, bil yang diterima oleh pengguna lebih tinggi, malah pengguna di seluruh dunia turut berdepan dengan situasi yang sama.
Atas dasar keprihatinan Kerajaan Malaysia, Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) diberikan kepada para pelanggan yang terbeban dengan jumlah bil yang lebih tinggi dengan harapan dapat mengurangkan beban kewangan para pelanggan.
BPE merupakan bantuan tambahan oleh kerajaan dengan kerjasama TNB. BPE ini juga adalah berbeza dengan Diskaun Prihatin yang diumumkan dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebelum ini.
Diskaun Prihatin diberikan kepada para pelanggan bermula April sehingga September 2020, manakala BPE adalah bantuan tambahan yang diberikan secara sekali gus bagi meringankan beban kenaikan bil yang lebih tinggi sepanjang April hingga Jun 2020 yang dihadapi para pelanggan.
Semua pelanggan domestik akan menikmati bantuan tambahan BPE ini.
Di bawah BPE, kesemua 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia yang mempunyai akaun dengan TNB akan menerima manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan, bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama.
Bantuan ini diberikan untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP iaitu bulan April, Mei dan Jun 2020 yang membolehkan pengguna menerima manfaat sehingga RM231 bagi tempoh tiga bulan tersebut.
Di samping itu, pelanggan domestik yang telah menggunakan antara 601 – 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun tambahan sebanyak 10 peratus iaitu tambahan lapan peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak dua peratus mulai bulan April hingga September 2020.
Jumlah BPE akan dimasukkan sekali gus di dalam bil sebenar pada bulan Julai 2020.
Sekiranya pengguna telah membuat bayaran pada bulan April, Mei dan Jun, lebihan bayaran untuk ketiga-tiga bulan tersebut akan dikreditkan ke dalam bil Julai 2020.
Terdapat juga bantuan lain yang ditawarkan TNB kepada para pengguna iaitu:
• Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang diperkenalkan oleh TNB sebelum ini masih terpakai di mana pengguna domestik mempunyai pilihan untuk menjelaskan bayaran bil elektrik tertunggak secara ansuran berdasarkan amaun PBM setiap bulan tanpa sebarang surcaj tambahan sehingga bulan Disember 2020.
• Tiada pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September 2020.
• Tiada caj lewat bayar dikenakan mulai 18 Mac 2020 hingga
30 September 2020.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat melalui:
• Melayari laman sesawang TNB di www.tnb.com.my/prihatin atau e-mel kepada tnbcareline@tnb.com.my
• Menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454.
• Mengunjungi mana-mana Kedai Tenaga berhampiran.