BATU PAHAT - Seorang kru Bot Barter Trade hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut ketika bot yang dinaikinya dipukul ribut di perairan Tanjung Segenting, dekat sini hari ini.
Mangsa, Sulaiman Ali, 20, yang juga warganegara Indonesia disedari hilang pada jam 4 pagi ketika dalam perjalanan dari Selat Panjang, Indonesia ke Batu Pahat dengan membawa muatan kayu bakau.
Difahamkan, bot tersebut sebelum itu dimasuki air akibat dipukul ribut dan bagi menyelamatkannya daripada karam, mangsa bersama-sama dua kru dan seorang tekong mengambil tindakan membuang muatan kayu bakau.
Bagaimanapun, mangsa disedari hilang oleh tekong semasa kerja-kerja membuang muatan tersebut dan mengesyaki mangsa jatuh ke laut.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 9.30 pagi sejurus menerima makluman mengenai kejadian itu.
"Dua unit bot dari Zon Maritim Batu Pahat dan satu unit bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia diaturgerakkan bagi mengesan dan mencari mangsa.
"Keluasan sektor pencarian dilaksanakan sekitar 20 batu nautika persegi di kawasan mangsa dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa dilaporkan memakai baju dan seluar berwarna coklat serta tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
Beliau berkata, maklumat berhubung kejadian turut disalurkan kepada komuniti maritim setempat dan kapal-kapal dagang yang melalui kawasan tersebut bagi tujuan membantu operasi SAR.
Sementara itu, pihaknya menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, mengutamakan keselamatan dan peka laporan perkembangan keadaan cuaca.
"Komuniti maritim juga digalakkan untuk membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) yang berfungsi untuk menghantar isyarat kecemasan terutamanya ketika berada di kawasan tiada capaian talian komunikasi," katanya.