Dua calon SPM maut digilis

Iklan
Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai digilis sebuah kereta kerana terjatuh dari motosikal akibat terlanggar lembu.
KOTA BHARU - Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut digilis sebuah kereta selepas melanggar lembu lalu terjatuh dari motosikal di Kampung Simpang Cabang Tinggi Sabak, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku jam 9.30 malam menyebabkan kedua-dua mangsa, Muhammad Aideed Mohd Roslan, 17, dan Muhammad Emdy Syazwan Md Norrizan, 17, cedera parah di kepala dan badan serta maut di lokasi kejadian.

Motosikal jenis Honda RS150 itu ditunggang Muhammad Aideed yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor Perdana dan dibonceng pelajar Kolej Vokasional Bachok, Muhammad Emdy Syazwan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan kemalangan itu dan mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.