KEMENANGAN besar 5-0 Manchester City ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad awal pagi tadi terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila penyerang utama The Citizen, Sergio Aguero mengalami kecederaan lutut.
Perkara itu disahkan pengendali City, Pep Guardiola yang melihat kemungkinan Aguero akan terlepas keseluruhan aksi EPL musim ini.
"Kelihatan kecederaannya tidak bagus dan mungkin kecederaan serius di lututnya itu. Kita akan lihat dengan lebih baik nanti.
"Sudah sebulan dia mengadu sakit di lututnya. Saya bukan doktor, tetapi saya rasa dia tidak akan dapat bermain sehingga habis musim ini," katanya.
Aguero tampil dalam kesebelasan utama City, namun terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama dan digantikan dengan Gabriel Jesus.
Kecederaan Aguero itu juga menjadi tamparan besar buat City apatah lagi pasukan gergasi Inggeris itu masih bersaing dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Burnley itu, Guardiola nyata gembira dengan persembahan yang ditonjolkan pemainnya yang tampil cemerlang dalam tempoh 90 minit permainan.
Malah, beliau turut memuji kelibat pemain tengahnya, Phil Foden yang menjadi nadi utama dalam kemenangan tersebut dengan meledak dua gol pada minit ke-22 dan ke-63.
Baki gol disumbangkan oleh pemain sayap, Riyad Mahrez pada minit ke-43 dan ke-45 selain David Silva pada minit ke-51.
"Foden adalah calon sesuai untuk menggantikan David Silva selepas pemain itu mengumumkan persaraan. Kami tidak perlu membeli pemain lain.
"Dalam diri Foden dia seorang peminat setia City yang masih muda dan setiap kali bermain akan memberikan kami sesuatu yang unik dan istimewa.
"Dalam 10 tahun, dia akan jadi pemain hebat untuk kami," katanya.