Tubuh RCI bagi tamatkan kemelut Tabung Haji

Iklan

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah menyokong gesaan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat penyelewengan dalam Tabung Haji bagi menyelesaikan kemelut yang melanda institusi tersebut.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, RCI itu perlu ditubuhkan segera bagi mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap institusi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selagi tidak wujud satu siasatan bebas yang menyeluruh terhadap pentadbiran institusi itu semasa zaman kerajaan Pakatan Harapan, selagi itu TH akan terus menghadapi fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap pengurusannya.

"RCI itu juga perlu bagi menamatkan kemelut berpanjangan TH yang sejak beberapa tahun ini sering didakwa berlaku salah urus.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh segera RCI Tabung Haji, gesa Pemuda UMNO

"RCI adalah jalan terbaik mencari penyelesaian merungkai masalah dan sekiranya ada pihak yang terbukti terlibat dalam sebarang salah laku pengurusan maka tindakan undang-undang harus menyusul selepas itu.

Iklan

"Sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, TH sering dijadikan alat mainan persepsi politik mereka, maka sekarang adalah masa terbaik merungkai semuanya biar rakyat dapat menilai sendiri sandiwara kerajaan PH selama ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi mencari kebenaran di sebalik pelbagai urusan TH yang diputuskan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Antara perkara yang perlu disiasat termasuk keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang didakwa meluluskan Hak Perlucutan Pertama (First Right of Refusal) terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

Asyraf Wajdi juga mencadangkan RCI menyiasat dakwaan berlaku jualan lambak 76.2 peratus ladang milik TH Plantations berkeluasan 101,000 hektar yang kini tinggal 24,000 hektar, aset lTH bernilai RM10 bilion yang dijual kepada UJSB seperti tanah di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM400 juta dan penjualan hotel TH seluruh Malaysia.