SEREMBAN - Seorang pembantu kedai ditahan di tepi jalan berhampiran susur keluar Plaza Tol Mambau, Seremban-Port Dickson, di sini selepas menghalang tugas penjawat awam antaranya didakwa menengking anggota polis yang sedang membuat sekatan jalan raya sempena Op Benteng, kira-kira jam 10.30, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pemuda berusia 25 tahun itu enggan memberhentikan motosikalnya dan cuba melanggar anggota polis yang sedang bertugas.
Iklan
Iklan
"Namun anggota tersebut sempat memberhentikan motosikal tersebut. Pada pada sama, dia meninggi suara dan menengking pegawai bertugas dengan mengatakan ‘besar sangat ke pangkat kau’ serta bertindak mengajak salah seorang anggota bertugas untuk bergaduh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Tambahnya, pemuda berkenaan juga gagal mengemukakan kad pengenalan dan lesen memandunya.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 25(1)(n) (PPN) Peraturan Pendaftaran Negara dan jika sabit kesalahan penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000," katanya.
Mohd Said berkata, ia memberi mesej jelas kepada orang awam dalam konteks memberi nasihat dan kesedaran awam sekiranya mana-mana pihak didapati ingkar, tindakan tegas boleh dikenakan.
Artikel Berkaitan