IPOH - Semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak diingatkan supaya sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap kecergasan mereka pada tahap terbaik.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, semua rutin berkala berkaitan kesihatan perlu dipatuhi dan wajib dilakukan mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, begitu juga jadual latihan jasmani, fizikal dan sebagainya perlu dipatuhi bagi mengurangkan risiko penyakit yang mengancam nyawa.
"Pemeriksaan kesihatan ini penting apabila terdapat anggota yang mempunyai penyakit ini, kita akan aturkan beberapa program untuk membantu mereka. Dari segi penugasan pula, jika mereka ada penyakit mungkin kita akan susun aturan bagi pusingan kerja.
"Kita juga akan melihat keperluan untuk melaksanakan latihan-latihan kecergasan untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas ditemui menziarahi keluarga anggota JBPM, Shaiful Bahari Jamalodin, 43, yang meninggal akibat sakit jantung di rumahnya di Taman Meru di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam pada itu, mengenai Allahyarham Shaiful Bahari, Azmi berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan waris yang mempunyai seorang isteri dan empat anak dijaga.
Katanya, segala bantuan seperti insurans, khairat kematian dan sebagainya akan disegerakan untuk manfaat waris.
Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditemui mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Shaiful Bahari selain memberikan sumbangan peribadi.
Beliau yang bersimpati dengan keadaan menimpa Allahyarham turut menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga serta membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan jika berpenyakit.
Menurutnya, dalam masa sama masyarakat turut perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab membantu keluarga yang kehilangan ketua keluarga.