Tahap hutang negara mungkin cecah 55 peratus, disiplin fiskal diteruskan

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik koronavirus (Covid-19) terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Iklan
Iklan

"(Tetapi), saya pernah menyebut beberapa kali bahawa 97 peratus hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri (negara).

"Ini penting kerana ia bermakna dedahan kita terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad,” katanya ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dan Penjana di laman Facebook beliau di sini hari ini.

Iklan

Dalam temu bual baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata, suntikan fiskal langsung berjumlah RM10 bilion ke dalam Penjana dijana menerusi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai kemampuan terhadap nisbah hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Iklan

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

"Penganalisis, agensi panarafan dan pelabur memahami bahawa Malaysia seperti negara-negara lain, akan mencatatkan defisit yang lebih tinggi berikutan pelbagai langkah rangsangan ekonomi. Ya...defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8-6.0 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Belanjawan 2020 mengunjurkan defisit itu pada 3.4 peratus.

"Memandang ke hadapan, apa yang lebih penting adalah apa yang kita lakukan untuk memperbaiki keadaan ini.

"Kerajaan komited terhadap disiplin fiskal untuk mengembalikan defisit fiskal di bawah 4.0 peratus dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang,” kata beliau. - Bernama