PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali menasihatkan pemain tempatan yang ingin berkelana ke luar negara supaya tidak mempercayai janji manis sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.
"Saya mengikuti perkembangan semasa bola sepak dalam negara mengenai pemain tempatan ke luar negara dan terpanggil sebagai Presiden PFAM untuk memberi nasihat supaya pemain muda seperti Luqman Hakim (Shamsudin) tidak dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan diri mereka.
Iklan
Iklan
"Kini kelihatan ada yang mengambil kesempatan ke atas pemain dengan menjanjikan pelbagai perkara termasuk perpindahan ke England dan Jerman. Selepas itu keluar pula berita yang mengatakan perkara tersebut adalah tidak benar. Cukuplah menggunakan pemain untuk populariti sendiri," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Luqman Hakim dikatakan telah berjaya menarik minat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United. Namun, pihak Newcastle menafikan perkara tersebut dan menegaskan tiada perbincangan langsung untuk membawa pemain kelahiran Kota Bharu itu ke St James Park.
Dalam masa sama, Safee turut menempelak pihak yang mengkritik kenyataan Penaung PFAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang pernah menasihatkan pemain supaya tidak mudah percaya kata-kata manis mana-mana pihak yang menjanjikan bulan dan bintang.
"Sepertimana yang sering diperkatakan oleh Penaung PFAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ)@hrhcrownprinceofjohor, kata-kata baginda mungkin kurang disenangi beberapa pihak tapi inilah hakikatnya.
"Saya faham jika ada yang mempertikaikan mereka yang tidak mempunyai sebarang pencapaian atau pengalaman. Tetapi tidak logik pula mempertikaikan TMJ, seorang yang menguruskan kelab paling berjaya di negara atau Asia Tenggara di luar dan di dalam padang, bercampur dengan pelbagai pihak dalam dunia bola sepak seperti pemilik kelab, ejen dan pemain dan seorang yang tahu bisnes bola sepak," ujarnya.