KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Singapura dikenali sebagai 'Boy Setan' yang disyaki membuat penghantaran dadah dengan menggunakan dron dari Johor Bahru ke Singapura diberkas tengah hari tadi.
Suspek berusia 40 tahun itu diberkas di sebuah kondominium oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Kontinjen Johor, hasil maklumat dan perisikan yang dijalankan.
Suspek yang turut dikehendaki Polis Singapura dipercayai berada di negara ini sejak tiga bulan lalu dipercayai terkandas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ramli Din mengesahkan tangkapan ke atas suspek.
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut. Suspek ditangkap tengah hari tadi oleh JSJN Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Boy Setan' seludup dadah guna dron diburu
"Polis Johor akan mendedahkan butiran secara lebih terperinci hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan suspek dipercayai membuat penghantaran dadah ke Kranji, Singapura dari Dataran Bandaraya Johor Bahru, baru-baru ini.
Beliau percaya kegiatan penghantaran dadah itu bukan didalangi sindiket, tetapi penyeludupan secara kecil-kecilan dengan menggunakan dron.
Dalam kejadian pada jam 5.45 petang, 17 Jun lalu, polis mengesan aktiviti dron dengan beg yang terpasang di atasnya, melayang di udara di sekitar Taman Takungan Kranji.
Siasatan awal mendapati beg itu mengandungi dadah disyaki jenis 'Ice' (syabu) seberat sekitar 278 gram.
Polis kemudian menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun dipercayai pengendali dron tersebut.
Dalam operasi susulan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, pada keesokan harinya, seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya warga Singapura, ditangkap.
Kira-kira 389 gram 'ice', lapan gram heroin, 195 tablet ekstasi dan dua tablet Erimin-5, yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 (RM134,355) dirampas.