BATU PAHAT - Seorang kru bot Barter Trade yang terjatuh di laut selepas bot yang dinaiki dipukul ribut di perairan Tanjung Segenting semalam ditemukan lemas di Tanjong Laboh petang tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat Sulaiman Ali, 20, yang merupakan warganegara Indonesia ditemukan oleh seorang nelayan di perairan tersebut pada jam 4 petang.
"Sebuah aset bot APMM dari Zon Maritim Batu Pahat kemudian digerakkan ke tempat penemuan iaitu 0.7 batu nautika tenggara dari lokasi seorang kru bot dipercayai jatuh ke laut.
"Mayat tersebut dibawa ke Jeti APMM Batu Pahat jam 5.45 petang dan disahkan oleh tekong bot Barter Trade sebagai kru bot mereka yang hilang semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 4 pagi semalam, mangsa bersama-sama kru lain dalam perjalanan dari Selat Panjang, Indonesia ke Batu Pahat dengan membawa muatan kayu bakau.
Bot tersebut kemudian dimasuki air akibat dipukul ribut dan bagi menyelamatkannya daripada karam, mangsa bersama-sama dua kru dan seorang tekong mengambil tindakan membuang muatan kayu bakau tersebut.
Mangsa disedari hilang oleh tekong semasa kerja-kerja membuang muatan tersebut dan mengesyaki telah jatuh laut.
Aminuddin berkata, mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 5.50 petang dan Pos Hadapan Carilamat di Zon Maritim Batu Pahat ditutup.