PEMAIN tempatan negara ini khasnya pemain muda dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dicabar untuk keluar dari zon selesa bagi mencari cabaran baharu dari segi persaingan dan intensiti permainan masing-masing.
Menurut saintis sukan Akademi Aspire di Qatar, Mohd Firdaus Maasar, selain benua Eropah beberapa negara maju lain di benua Asia juga memiliki saingan liga kompetitif yang perlu direbut pemain tempatan.
"Selain Luqman Hakim (Shamsudin), kita juga memiliki ramai lagi pemain muda tempatan seperti Safawi (Rasid) dan beberapa lagi pemain muda lain yang sudah membuktikan kewibawaan masing-masing di Liga-M. Pemain-pemain muda ini sewajarnya berani menyahut cabaran beraksi di liga luar.
"Apatah lagi pemain-pemain muda yang direkrut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah pun membuktikan keupayaan masing-masing pada kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sebelum ini.
"Pada saya pemain muda negara tidak berdepan masalah untuk membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya apatah lagi kebanyakan mereka membarisi kesebelasan utama pasukan kelab masing-masing dalam saingan Liga-M.
"Cumanya kini mereka perlu menyahut cabaran baharu di pentas liga baharu untuk menjadi lebih kompetitif lagi, sesudah beraksi beberapa tahun pada saingan liga tempatan.
"Apabila beraksi di saingan liga domestik tambahan pula sering menjadi pilihan utama membarisi kesebelasan utama pasukan, ia sudah tentu membataskan tahap perkembangan daya saing seseorang pemain itu.
"Namun apabila mendapat peluang beraksi dengan kelab luar negara, mereka suka atau tidak perlu kembali bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana kelab luar meletakan kemampuan berdaya saing pemain sebagai merit yang secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi pemain.
"Biarpun terdapat beberapa sekatan beraksi di liga utama Eropah, namun kena ingat peluang beraksi di liga luar negara ini khasnya di rantau Asia tetap ada.
"Tambahan pula beberapa kelab negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan mempunyai kemudahan sokongan sains sukan berteknologi tinggi yang dapat membantu perkembangan prestasi pemain, cuma apa yang perlu dilakukan sekarang tingkatkan prestasi dan rebut peluang," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mengenai cabaran yang perlu dihadapi pemain tempatan khasnya pemain muda ketika beraksi di luar negara khasnya Eropah, Mohd Firdaus yang sebelum ini memberikan sokongan sains sukan kepada pasukan Liverpool berkata, setiap pemain yang mahu beraksi di luar negara selain perlu mempunyai sasaran dalam karier, perlu juga mempunyai kekuatan mental.
"Kekuatan mental adalah antara aspek yang paling penting apabila seseorang pemain itu mahu berhijrah ke liga luar selain aspek fizikal dan prestasi permainan.
"Budaya Liga-M dengan liga Eropah sangat berbeza dalam pelbagai aspek. Ini antara perkara yang perlu pemain hadam. Sudah tentu kalau mereka memberikan yang terbaik dan bersifat terbuka untuk menerima kritikan dari jurulatih, saya percaya mereka boleh berjaya ke peringkat yang lebih tinggi.
"Di Eropah, kritikan dari jurulatih dan rakan sepasukan agak keras dan kasar. Tidak ada teguran untuk menjaga hati atau sopan santun. Ini antara faktor yang membentuk karakter dan jiwa kental seseorang pemain. Apa yang penting, pemain harus menerima kritikan dan teguran dari sudut positif, dan kekal berdaya saing.
"Cumanya, dalam kes Luqman ini, saya nasihatkan dia terima tawaran di beraksi Belgium. Gunakan peluang ini untuk bermain di tahap yang lebih tinggi. Insya-ALLAH jika dia mampu bersaing dengan pemain lain di Liga Belgium, harapan untuk dia bermain di liga yang lebih baik di Eropah pada masa depan akan lebih cerah," katanya