Hadapi Covid-19 di sebalik tirai besi

Iklan
Semua pesalah baharu di Penjara Kajang akan dikuarantin selama 14 hari bagi memastikan mereka bebas virus Covid-19. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

[LAPORAN KHAS] PENULARAN wabak pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini turut mengubah normal kehidupan penghuni penjara di seluruh negara.

Bagi memastikan risko wabak itu tidak menular, Jabatan Penjara Malaysia khususnya Penjara Kajang telah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Iklan
Iklan

Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan berkata, pihaknya telah melaksanakan SOP yang ketat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Pelaksanaan SOP ini memberi penekanan kepada aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Iklan

Abdul Halim berkata, pihaknya harus memastikan 6,000 penghuni di Penjara Kajang bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19.

"Perkara yang paling kita bimbang adalah penularan Covid-19 dari luar masuk ke dalam Penjara Kajang. Ia mungkin boleh berpunca daripada banduan yang baru masuk atau kakitangan yang berkhidmat di penjara,” katanya.

Iklan

"Perjumpaan biasa keluarga termasuk pada hari raya juga kita hentikan dan kita gantikan dengan kaedah sidang video menggunakan Skype. Penghuni juga boleh menghubungi keluarga menggunakan wartel (telefon khas),” katanya.

Menurutnya, jika penghuni memerlukan wang untuk membeli barang, keluarga boleh mengirimkan wang melalui akaun kelab sukan.

Beliau berkata, pihaknya perlu melaksanakan beberapa kaedah yang telah disarankan oleh KKM antaranya penggunaan topeng penutup mulut dan hidung serta sarung tangan oleh kakitangan penjara.

"Kakitangan yang bertugas juga akan menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk menerima pesalah baharu yang memasuki Penjara Kajang. Pesalah tersebut harus menjalani proses saringan awal.

"Pesalah akan menjalani pemeriksaan suhu badan, kita juga perlu mengenal pasti tahap kesihatan individu itu untuk proses kemasukan ke penjara,” katanya.

Penjara Kajang -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurutnya, selepas proses dokumentasi, proses kebersihan akan dilaksanakan ke atas individu berkenaan.

"Kita akan memastikan banduan baharu ini mandi dan memakai pakaian yang telah dicuci, kemudian mereka akan ditempatkan di zon kuarantin selama 14 hari sebelum dipindahkan ke zon lain. Zon kuarantin itu boleh memuatkan seramai 500 orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Zon kuarantin

Menurut beliau lagi, setakat ini kaedah yang diterapkan berkesan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di sebalik tirai besi.

"Berkaitan dengan tempat tidur atau sel, di penjara ini jumlah yang selesa hanyalah seramai 3,400 orang, tapi sekarang dengan jumlah 6,000 orang penghuni yang ada, kita cuba sedaya upaya untuk melakukan penjarakkan sosial,” katanya.

Abdul Halim berkata, zon kuarantin juga diwujudkan iaitu lokasi yang pernah digunakan untuk program Rumah Ngaji sejak 2015.

"Program Rumah Ngaji di penjara ini adalah hasil kerjasama dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Program itu menjadi platform terbaik untuk banduan beragama Islam di Penjara Kajang mendalami ilmu agama.

"Lokasi program Rumah Ngaji berkenaan terpaksa ditutup sementara untuk dijadikan sebagai zon kuarantin sejak PKP. Kita kini melaksanakan program Rumah Ngaji di surau di dalam Penjara Kajang,” katanya.

Kakitangan Jabatan Penjara turut memakai set lengkap PPE ketika membuat proses sanitasi di penjara. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata, peranan pegawai Penjara Kajang juga telah dikhususkan dalam tugas pengawasan penghuni penjara berkenaan.

"Kita telah menetapkan anggota dan pegawai khusus untuk melaksanakan tugas di bahagian yang telah ditetapkan berdasarkan kemahiran masing-masing dalam mengawal Covid-19 daripada merebak ke dalam penjara,” katanya.

Abdul Halim berkata, pihaknya turut melaksanakan operasi nyahkuman di Penjara Kajang setiap hari.

"Kita telah mewujudkan satu unit khusus untuk melaksanakan operasi nyahkuman di Penjara Kajang. Ia melibatkan kawasan tumpuan seperti pintu utama, surau, dapur, klinik dan sel-sel penghuni.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan KKM turut membantu dalam operasi nyahkuman ini. Kita melaksanakan operasi tersebut berdasarkan keperluan dan jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan segera jika ada kes penghuni Penjara Kajang yang sakit.

"Pegawai perubatan akan memeriksa penghuni penjara tersebut sekiranya menerima aduan. Pemeriksaan itu juga akan menjurus kepada sebarang kemungkinan berlaku jangkitan Covid-19,” katanya.

Abdul Halim -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Abdul Halim berkata, pihaknya akan menghubungi Hospital Kajang jika ada penghuni penjara menunjukkan simptom Covid-19.

"Individu tersebut akan menerima rawatan di hospital berkenaan, namun setakat ini belum ada kes Covid-19 dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 20 penghuni Penjara Kajang telah menjalani saringan Covid-19 di Hospital Kajang.

"Keputusan kesemua individu berkenaan adalah negatif Covid-19,” katanya.

Menurut Abdul Halim, kakitangan Penjara Kajang perlu memakai PPE sepanjang masa semasa tempoh bertugas di blok khas menempatkan penghuni warga asing.

"Kita bimbang terhadap penularan Covid-19 termasuk kluster Depot Tahanan Imigresen kerana pendatang tanpa izin akan dihantar ke penjara ini untuk menjalani hukuman,” katanya.

Menurutnya, penghuni warga asing perlu ditempatkan secara berasingan daripada warga tempatan di blok khas di penjara itu.

"Penghuni warga asing juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memasuki penjara.

Jahit PPE

Bergelar banduan di sebalik tirai besi dengan sejarah hitam kriminologi tersendiri, namun ia tidak menghalang sebahagian besar daripada mereka menyumbang tenaga dan kemahiran untuk memerangi Covid-19.

Siapa sangka jari-jari pesalah berjaya menyiapkan lebih 11,000 unit PPE bagi kegunaan petugas barisan hadapan sejak 6 April lalu.

Abdul Halim berkata, seramai 70 penghuni yang ditempatkan di bengkel jahitan penjara itu bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas bermula dari jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

"Kita telah menghasilkan PPE untuk kegunaan petugas di Hospital Serdang, Institut Jantung Negara (IJN), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Penjara Kajang, Jabatan Penjara Malaysia dan badan bukan kerajaan Kelab Rakan Prihatin,” katanya.

Beliau berkata, penghuni penjara yang terlibat dalam penyediaan PPE itu telah menunjukkan komitmen yang terbaik.

"Mereka berasa bertuah kerana terpilih sebagai insan yang dapat membantu petugas barisan hadapan ‘memerangi’ Covid-19,” katanya.