IPOH - Seramai 34,150 pelajar memulakan sesi persekolahan di seluruh Perak hari ini selepas lebih tiga bulan tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan Sinar Harian mendapati pelajar-pelajar lebih teruja untuk menghadiri sesi pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar orang kurang upaya (OKU), Usamah Ariffin Abdillah, 17, berkata, dia lebih mudah mengikut pembelajaran dalam kelas berbanding dalam talian.
"Belajar di rumah lebih sukar kerana pinjam telefon bimbit ibu tambahan ada masalah liputan internet yang kurang membantu menyiapkan kerja sekolah.
"Saya lebih suka belajar dalam kelas kerana mudah dan senang bertanyakan soalan terus kepada guru kalau tidak faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Amalan Penyayang sempena pembukaan semula sekolah oleh Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan NGO Perak, Razman Zakaria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.
Dia yang kudung kaki kanan akibat kemalangan jalan raya tahun lalu mengakui sedikit sukar menjalani sesi sekolah dalam normal baharu.
"Ia agak susah pada mulanya tetapi ia baik demi keselamatan, kita semua kena hadapinya. Pada masa sama, saya gembira untuk bertemu semula dengan rakan-rakan serta guru.
"Kemungkinan akan ada kembali latihan renang sebagai persediaan mewakili Perak dalam sukan para Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan,” katanya.
Bagi pelajar Tingkatan Enam, Muhammad Hamimi Abdullah, 19, melahirkan keyakinan dapat ‘mengejar’ kembali lima subjek yang tinggal tiga bulan lalu bagi menghadapi peperiksaan semester dua pada Ogos ini.
"Tingkatan Enam ini sistemnya lain kerana peperiksaannya cepat. Inilah masanya untuk kita benar-benar mengejar kembali subjek selepas tiga bulan tinggal di rumah.
"Cikgu ada inisiatif untuk wujud ‘class room’ telegram tetapi saya lebih suka pembelajaran secara bersemuka dalam kelas,” katanya yang bercita-cita sebagai pegawai tadbir diplomatik.
Sementara itu, Razman berkata, seramai 28,813 pelajar dari Tingkatan Lima, Tingkatan Enam (3,847), Sijil Tinggi Agama Malaysia (456) dan Sijil Vokasional Malaysia (1,034).
"Sepanjang lawatan dapat lihat pihak sekolah bersungguh-sungguh mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan dengan mengambil suhu pelajar selain sanitasi meja dan kerusi,” katanya.