KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS menawarkan program jangka pendek kepada pelajar tahfiz yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma khususnya dalam pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselor PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, untuk tujuan itu PICOMS telah melancarkan Program Profesional Tahfiz (PPTP) dengan kolaborasi bersama CIDB Holdings.
Menurutnya, PPTP yang dikelolakan sepenuhnya Pusat Kecemerlangan PICOMS di bawah Pusat Islam Ceria itu akan memberi peluang kepada golongan tahfiz mengembangkan potensi dan kompetensi diri mereka.
"Ia melibatkan bidang ‘Site Safety Supervisor’ (SSS), ‘Occupational Safety & Health’ (OSH) Coordinator daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja atau DOSH serta tujuh lagi kursus tambahan hasil kerjasama antara PICOMS, CIDB Holding, AMIOSH serta penyedia program lain.
"Program-program ini turut ditawarkan kepada golongan tahfiz yang sedang bekerja dan mempunyai keinginan untuk menyambung pelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Profesional Tahfiz PICOMS dan Pelancaran Tabung Wakaf Tunai PHMP yang disempurnakan oleh Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Besar PICOMS di sini.
Hadir sama, Pengerusi PICOMS, Profesor Dr Abdul Latif Mohamed, Ketua Eksekutif CIDB Holding, Supian Musa, Ketua Pegawai Strategik Agrobank, Taufik Mahamad Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Akbar Samon.
Mengulas lanjut, Dr Wan Mohd Azizi menyifatkan pemilihan CIDB Holding sebagai rakan strategik utama adalah satu langkah ke hadapan dengan pengalaman luas dimiliki mereka dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Malaysia.
Katanya, menerusi kerjasama itu, PICOMS akan mendapatkan kepakaran, pengalaman, kemudahan serta rangkaian latihan yang tersebar luas di seluruh negara yang dimiliki oleh CIDB Holding.
"Ini akan memartabatkan lagi pelajar tahfiz khususnya dalam aspek kompetensi sekaligus membuka peluang buat mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan.
"Justeru, mereka-mereka ini mempunyai hala tuju kerjaya yang lebih meluas setelah menamatkan pengajian di madrasah atau pusat-pusat tahfiz,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Wan Mohd Azizi turut memaklumkan bahawa PICOMS juga menawarkan program Cemerlang tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khusus kepada pelajar lepasan tahfiz yang ingin menyambung pembelajaran mereka ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Beliau berkata, PICOMS juga telah menerima watikah pelantikan sebagai Mutawalli oleh MAIWP pada 18 Jun lalu bagi pelaksanaan Wakaf Pendidikan MAIWP sekaligus melayakkan PICOMS mengendalikan Tabung Wakaf Pusat Hemodialisis.
Katanya, PICOMS turut merancang untuk melaksanakan pelbagai program berasaskan wakaf melibatkan wakaf tunai dan wakaf harta alih yang akan menjadi sumber kepada aktiviti ‘social fund raising’ kendalian PICOMS.
"Kami juga berhasrat untuk mencapai status wakaf Universiti dan sebagai salah satu langkah permulaan, PICOMS telah melancarkan penubuhan Pusat Wakaf MyRahmah pada 31 Julai lalu bagi mengembangkan kebolehupayaan mekanisme wakaf berasaskan harta alih,” katanya.