Melaka terus kukuh hubungan dengan Johor

Iklan
Info Perjanjian Air Sungai Muar yang pernah disiarkan di Twitter Sinar Harian pada 25 Julai 2018.

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan terus memperkukuhkan hubungan dengan kerajaan Johor menerusi perancangan untuk menambah baik Perjanjian Air Sungai Muar.

Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, dalam pertemuan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, pihaknya membincangkan mengenai permohonan penambahan kapasiti pembelian air mentah dari Sungai Muar, Johor melalui Rumah Pam Grisek bagi menampung keperluan pengguna di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu sebagai perancangan bagi memastikan keperluan air mentah di negeri ini mencukupi lebih-lebih lagi Melaka sering berdepan dengan musim kemarau hingga menyebabkan berlaku krisis gangguan air bersih.

"Kita faham Melaka salah sebuah negeri paling dekat dengan Johor dan pertemuan bersama MB banyak memperkatakan dalam penambahbaikan perjanjian air sedia ada.

Iklan

"Ini supaya air di negeri ini mendapat bekalan air berterusan dan kekuatan negeri Johor untuk membantu Melaka. Kita juga berbincang bagaimana kemajuan negeri itu boleh kita manfaatkan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini hari ini.

Sulaiman (tengah) sempat beramah mesra dengan pelajar Tingkatan Lima SMK Ayer Keroh hari ini.

Iklan

Pada awal tahun lalu, Melaka terpaksa melaksanakan catuan bekalan air secara harian dengan menutup 87 injap air dan menjejaskan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus pengguna di ketiga-tiga daerah di negeri itu.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, perbincangan itu turut menyentuh mengenai persempadan kawasan termasuk Sungai Kesang di Sungai Rambai yang tular di media sosial disebabkan kejernihan air.

Katanya, Melaka akan membuat persediaan awal dengan mengamalkan penjimatan sumber air bagi menghadapi gelombang kedua musim panas dan kering di negeri itu yang dijangka akan berlaku menjelang Oktober depan.

"Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri diarah memulakan langkah terbabit bagi mengelakkan kekurangan bekalan air yang berlaku berulang," katanya.

Dalam lawatan kerja itu, beliau turut merafak sembah takzim kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.