MELAKA TENGAH - Seorang operator kilang direman empat hari kerana disyaki membuang mayat bayi lelaki dalam saluran najis di Kampung Kandang di sini.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, lelaki berusia 25 tahun itu direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tergamak buang mayat bayi dalam salur najis!
"Pasangannya yang berusia 23 tahun dibebaskan dengan jaminan polis, namun berada di bawah pengawasan polis berikutan masih menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, seorang lelaki tergamak membuang mayat bayi hasil hubungan dengan teman wanitanya di dalam saluran najis di rumahnya di Kandang di sini.
Tindakan itu dilakukan untuk menyembunyikan bayi yang dipercayai meninggal dunia ketika dilahirkan teman wanitanya di sebuah rumah sewa di Taman Perkota Bukit Baru selepas mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan.