Warga emas dipenjara lapan tahun amang seksual fizikal

Iklan
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun selepas disabitkan kesalahan melakukan amang seksual fizikal.

SUNGAI PETANI - Seorang warga emas dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal ke atas anak jiran, dua tahun lalu.

Hakim, N Priscilla Hemamalini mengarahkan tertuduh, Mansor Hamid, 77, menjalani hukuman penjara bermula hari ini selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dari Guar Chempedak yang merupakan bekas tentera disabitkan kesalahan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian badan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang juga rakan kepada cucunya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Guar Chempedak, Yan pada jam lebih kurang 8 malam, 15 Februari 2018.

Akibat perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, tertuduh dibenar menangguhkan hukuman penjara selepas peguam tertuduh memohon mahkamah agar hukuman ditangguhkan atas beberapa alasan termasuk faktor umur, masalah kesihatan dan mempunyai tanggungan, sehingga rayuan selesai.

Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Saiful Ambar Abdullah Ambar.